Gary memiliki tompok di atas mata yang tidak ubah seperti kening. AGENSI
Akhbar Daily Mail melaporkan, kucing berusia lapan minggu bernama Gary itu mula mendapat nama jolokan sebagai ‘Kucing Prihatin’ kerana bentuk tompok di atas matanya yang semula jadi, membuatkan anak kucing tersebut sentiasa kelihatan seolah-olah terkejut.
Kucing baka Moggie itu mula menjadi perhatian di Internet sejak pemiliknya menamakan kucing berwarna putih itu de­ngan nama Kucing Prihatin.
Pemilik haiwan istimewa itu, Andy Entwistle, 40, dan Caroline, 45 berkata, kucing comel tersebut dilahirkan dengan dua tanda tompok hitam di dahinya.
“Ketika dilahirkan, terdapat dua tompok hitam di atas dahinya. Tompok itu semakin mengembang apabila Gary dewasa. Wajahnya seakan-akan keliru, maka saya menggelarkannya Kucing Prihatin dan te­rus kekal sebegitu.
“Kami memberi nama Gary kepadanya sempena nama seorang bintang popular Britain, Gary Barlow yang terkenal de­ngan gaya mengangkat kening ketika menyanyi dengan nada suara yang tinggi,” kata Caroline.
Andy yang merupakan seorang operator program dan Caroline ibu kepada empat orang anak itu dengan cepat menafikan beberapa dakwaan bahawa tompok di atas mata anak kucing itu ditulis mereka.
“Ramai orang bertanya kepada kami sekiranya ‘kening’ tersebut dilukis, namun perkara itu tidak berlaku.
“Perbuatan itu kejam. Namun jika orang ramai tidak mempercayainya, kami gembira untuk cuba memadamkannya, namun tompok tersebut tidak akan hilang,” katanya.