Pages

Thursday, September 4, 2014

Kahwin anjing buang sial


Mangli Munda, 18, bersetuju berbuat demikian selepas orang tua di kampungnya memberitahu ibu bapanya satu-satunya cara bagi mengelak remaja berkenaan membawa kemusnahan kepada keluarga dan penduduk di situ.
Seorang pemandu membawa anjing liar dinamakan Sheru itu ke majlis berkenaan sebelum disambut meriah tetamu yang hadir.

Mangli yang tidak pernah bersekolah mengakui sedih terpaksa berkahwin dengan anjing itu, namun bersedia melakukan pengorbanan demi mengubah nasib dan masa depannya.
Foto
MANGLI bersama anjing yang dikahwininya.

“Orang tua di kampung ini percaya perkara buruk akan berlaku jika saya berkahwin dengan lelaki buat masa ini. Memilih anjing sebagai pengantin bererti sial itu akan diturunkan kepada haiwan berkenaan.

“Ini akan memastikan lelaki yang saya kahwini kelak bernasib baik dan panjang umur,” katanya.

Bapanya, Sri Amnmunda bersetuju dengan pendapat orang kampung dan turut mencarikan ‘pengantin lelaki’ untuk Mangli.

“Kami diarahkan mengadakan perkahwinan secepat mungkin untuk menghapuskan sumpahan terhadap anak saya,” katanya.

Percaya atau tidak ini bukan kali pertama perkahwinan seumpama itu diadakan di kampung berkenaan.

“Ia juga dilakukan di kampung lain. Memang kami semua percaya dengan sumpahan seperti itu,” kata Sri.

Ibunya Seema Devi berkata, keluarganya membelanjakan wang yang banyak untuk majlis berkenaan, selain memberi penghormatan penuh kepada Sheru, sama seperti mana-mana pengantin lelaki.

Perkahwinan itu tidak memberi kesan terhadap kehidupan Mangli malah dia boleh berkahwin kelak tanpa perlu menceraikan ‘suaminya’ itu.

“Saya diberitahu ramai gadis melakukan perkahwinan seperti ini dan mampu hidup bahagia selepas itu. Jadi saya juga boleh mengahwini lelaki idaman saya kelak,” katanya.

Dia kini perlu menjaga haiwan berkenaan untuk beberapa bulan akan datang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

China tawar hadiah bagi perkahwinan campur di Xinjiang

RABU, 3 SEPTEMBER 2014 @ 4:34 PM

 
BEIJING: Pihak berkuasa menawarkan hadiah 10,000 yuan (RM5,000) setahun bagi menggalakkan perkahwinan campur di kawasan Xinjiang yang bergolak antara etnik minoriti dan kaum dominan Han.

Kawasan sempadan barat di Asia Tengah adalah tempat di mana terdapat majoriti penduduk golongan etnik Uighur Muslim.

Parti Komunis China yang memerintah menuduh militan pemisah di kawasan terbabit

melakukan serangan di seluruh negara sepanjang tahun lalu, termasuk di Tiananmen Square, Beijing.



"Kami menyokong perkahwinan campur antara golongan etnik Han dan minoriti bagi menggalakkan tenaga positif," kata Zhu Xin, pegawai tempatan dalam laporan media minggu lalu yang memetik laman web kerajaan Pemerintahan Autonomi Bayingol Mongolia.

Program itu meliputi rawatan kesihatan, perumahan, pekerjaan, pendidikan dan faedah lain bagi pasangan yang kahwin campur, tambahnya.

Posting berkenaan sudahpun dikeluarkan daripada laman web kerajaan petang ini.

Menurut angka rasmi, kira-kira 46 peratus penduduk Xinjiang terdiri daripada golongan etnik Uighur, yang bertutur bahasa Turki dan 39 peratus China Han. - AFP

Ratu cantik tuntut permohonan maaf sebelum serah mahkota



RATU cantik Myanmar, May Myat Noe. - Foto EPA
NAYPYIDAW: Penganjur pertandingan Ratu Cantik Asia Pasifik di Korea Selatan mengancam untuk membuat laporan polis dalam usaha mereka menuntut supaya ratu cantik Myanmar, May Myat Noe mengembalikan semula tiara yang dimenangi yang didakwa dilarikan ke negara asal wanita itu.
Pengasas pertandingan itu, Choi Youn mendakwa May Myat Noe lari bersama tiara terbabit yang dianggarkan bernilai AS$100,000 yang dimenanginya di Korea Selatan Mei lalu selepas beliau menjadi ratu cantik pertama di peringkat antarabangsa.
"Perkara ini sekarang adalah membabitkan imej dan reputasi negara dan beliau perlu ditahan kerana melarikan tiara itu," kata Choi kepada Reuters di Seoul.
Katanya, pihak penganjur bercadang untuk melaporkan perkara itu kepada polis.
Kelmarin, ratu cantik berkenaan yang ditarik balik gelarannya atas dakwaan menipu dan tidak jujur menegaskan hanya akan memulangkan semula tiara kemenangannya jika penganjur ratu cantik Korea Selatan itu memohon maaf.
Beliau turut menafikan mendapatkan rawatan pembesaran buah dada secara percuma.
Penganjur juga mendakwa May lari bersama mahkota terbabit selepas menjalani pembedahan implan buah dada bernilai AS$10,000 yang dibiayai penganjur untuk meningkatkan karier nyanyiannya.
May Myat Noe dalam satu sidang media di Yangon kelmarin berkata beliau masih lagi seorang ratu apabila pulang ke negaranya bersama tiara terbabit.
Beliau hanya menerima surat memaklumkan beliau digugurkan gelaran itu selepas tiba di tanah airnya.
Katanya, beliau hanya akan mengembalikan tiara itu selepas menerima satu permohonan maaf dari penganjur yang menyebarkan pembohongan mengenai dirinya yang turut menjejaskan 'maruah negaranya'.
"Sebaik saja semua dijelaskan, saya akan kembalikan tiara ini secara sukarela," katanya yang turut mendakwa penganjur di Myanmar memalsukan umurnya dari 16 kepada 18 tahun.
Katanya, penganjur di Korea Selatan pula cuba memujuknya menjalani pembedahan membesarkan buah dada tetapi beliau enggan melakukannya.
Antara tuduhan lain, May Myat Noe berkata, penganjur juga meminta beliau untuk 'mengiringi beberapa jutawan sekiranya mereka meminta berbuat demikian dalam usaha untuk mendapatkan wang bagi menghasilkan album beliau sebagai seorang penyanyi.
Choi yang juga bekas ratu cantik menafikan dakwaan itu.
"Tidak sama sekali. Ia adalah tidak benar." - Reuters

Wanita tawar pakej lawatan hantu



KEITHLINE (kiri) memberi penerangan mengenai misteri sebuah rumah di bandar Northampton kepada dua pelancong baru-baru ini.


NORTHAMPTON, Britain - Seorang wanita menawarkan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong kepada para pelawat yang mahu melawat lokasi-lokasi misteri dan berhantu di bandar berkenaan, lapor portal Mass Live kelmarin.
Wanita tersebut, Annie Keithline menawarkan perkhidmatan itu selepas mendapati bandar Northampton mempunyai banyak kisah-kisah menakutkan dan lokasi misteri.
Graduan dari Universiti Massachusetts itu berkata, dia telah pergi mengembara di beberapa buah bandar di Britain dan setiap bandar yang dilawatinya mempunyai pakej melawat tempat-tempat berhantu serta misteri.
"Apabila pulang ke Northampton saya merancang untuk mewujudkan produk pelancongan yang serupa.
"Walaupun Northampton sebuah bandar yang moden tetapi ia banyak menyimpan cerita-cerita misteri terutama ketika bandar ini mula-mula dibuka dahulu," katanya.
Menurutnya, antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah lawatan ke tempat-tempat misteri dan dia akan menceritakan kisah-kisah seram yang sering diceritakan oleh penduduk tempatan.
Setiap pelawat perlu membayar AS$15 (RM47) untuk lawatan yang bermula pada pukul 7.30 malam dan berlangsung selama 90 minit itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3CI4fZZtI 
Hakcipta terpelihara 

Bomba selamatkan kuda tersangkut



BEBERAPA anggota bomba melihat seekor kuda yang tersangkut di pagar di sebuah ladang di Little Ness, Shropshire, Britain.


LONDON - Seramai 10 anggota bomba dan sebuah jentolak terpaksa digunakan untuk melepaskan seekor kuda yang tersangkut di atas pagar di sebuah ladang di Little Ness, Shropshire dekat sini kelmarin.
Kuda berusia empat tahun tersebut tersangkut di pagar berkenaan selepas cuba melompat ke sebuah ladang bersebelahan.
Seorang anggota bomba, Craig Jackson berkata, mereka menerima panggilan daripada seorang peladang yang meminta bantuan untuk melepaskan kudanya yang tersangkut.
"Semasa kami sampai, haiwan ini kelihatan ketakutan dan seorang doktor haiwan terpaksa menyuntik ubat penenang bagi membolehkan kami bekerja.
"Kuda ini akhirnya berjaya diselamatkan selepas kami mengangkatnya dengan menggunakan sebuah jentolak," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3CI4UNdNK 
Hakcipta terpelihara 

Pusat bebas cukai terbesar di dunia


Ribuan pengunjung membanjiri pusat membeli belah Haitang Bay, di Pulau Hainan yang dibuka secara rasmi Isnin lalu. - AGENSI
BEIJING 3 Sept. - Sebuah pusat membeli belah bebas cukai yang terbesar di dunia telah dibuka di sebuah bandar pesisir pantai di tenggara negara ini, sekali gus menjadi daya penarik baharu kepada pelancong ke negara ini.
Menurut portal Mail Online, pusat membeli belah Haitang Bay yang terletak di pusat bandar Sanya dan mempunyai keluasan sehingga sejuta kaki persegi.
Isnin lalu, beribu-ribu pengunjung membanjiri pusat membeli belah itu yang menyediakan kedai-kedai secara berasingan di dalam bangunan tiga tingkat yang berbentuk atrium kaca ketika dibuka secara rasmi.
Pusat membeli belah di wilayah Hainan itu merupakan syurga kepada pelancong-pelancong yang meminati fesyen mewah, barangan kemas mewah, koleksi wangian berjenama, manisan dan juga minuman keras yang diimport.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Haitang Bay juga menghimpunkan kira-kira 300 jenama antarabangsa di bawah satu bumbung sekali gus menjadi yang pertama himpunan jenama mewah termasuk jenama Prada, Rolex dan Giorgio Armani, yang dikategorikan sebagai kedai bebas cukai di Tembok Besar China.
Pusat membeli belah yang dikendalikan oleh Kumpulan Bebas Cukai China itu, dibina dengan kos sebanyak 500 juta pound (RM2.6 juta) bagi menggantikan sebuah tapak kedai yang sesak.
Pembinaan pusat membeli belah gergasi itu juga merupakan sebahagian usaha untuk menaiktaraf Pulai Hainan sebagai destinasi pelancong bertaraf dunia menjelang akhir dekad ini.
April 2011, Pulau Hainan membuka dua kedai bebas cukai sebagai program percubaan yang diselenggarakan oleh Majlis Perbandaran China.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_10/Pusat-bebas-cukai-terbesar-di-dunia#ixzz3CHzj1deX
© Utusan Melayu (M) Bhd