Pages

Thursday, February 20, 2014

Gadis direjam sampai mati kerana Facebook


Gadis Syria bernama Fatoum al-Jassem direjam sampai mati hanya kerana membuka akaun Facebook. - GAMBAR HIASAN
DAMSYIK 19 Feb. - Seorang gadis Syria dijatuhi hukuman rejam sehingga mati kerana membuka akaun laman web sosial, Facebook, menurut satu laporan hari ini.
Mahkamah Syariah di bandar al-Raqqa, di sini menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Fatoum al-Jassem, selepas didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral kerana memiliki akaun laman web itu.
Dia dibawa ke mahkamah oleh militan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) selepas ditangkap ketika sedang melayari laman web itu.
Laman web berita, examiner.com menjelaskan, mahkamah tersebut yang berada di bawah penguasaan ISIS turut menjatuhkan hukuman sama terhadap kesalahan zina.
ISIS merupakan kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan ditubuhkan pada April, tahun lalu.
Kumpulan tersebut merupakan satu daripada pertubuhan yang menentang tentera kerajaan Syria, dan kini menawan bandar al-Raqqa pada Mac, tahun lalu.
Dilaporkan, terdapat penduduk yang menentang kumpulan itu ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara tanpa perbicaraan.
Penduduk wanita pula diarah untuk menutup aurat dan menurut laporan saluran televisyen CNN, mereka dilarang bertemu dengan doktor lelaki dan meninggalkan rumah tanpa ditemani saudara lelaki. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140220/lu_05/Gadis-direjam-sampai-mati-kerana-Facebook#ixzz2toA0dKkv
© Utusan Melayu (M) Bhd