Pages

Friday, August 17, 2012

45,000 pindah ekoran pertempuran tentera, pemberontak




         
COTABATO (Filipina): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata, pertempuran antara tentera dan kumpulan pemberontak Islam di selatan negara ini telah menyebabkan 45,000 orang berpindah.

Ketua Suruhanjaya Tinggi PBB untuk pejabat pelarian di selatan negara itu, Arjun Jain berkata, hampir separuh daripada mereka yang berpindah itu hidup dalam keadaan daif di tempat pemindahan sementara seperti sekolah dan madrasah.


“Keadaan tempat pemindahan sesak dan kadangkala lapan hingga 10 keluarga terpaksa berkongsi dalam satu bilik,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga kebimbangan mengenai keselamatan, merujuk kepada laporan bahawa kumpulan pemberontak menyusup masuk ke dalam tempat pemindahan itu dan menyamar sebagai pelarian.


“Sekiranya mereka terpaksa tinggal di tempat pemindahan itu lebih lama, kami bimbang situasi itu akan menjadi lebih buruk untuk mereka,” katanya. - Manila Times

Pemberontak ancam minta bantuan al-Qaeda




         
ALEPPO: Pemberontak Syria semalam memberi amaran mereka mungkin beralih kepada al-Qaeda untuk mendapatkan bantuan senjata selepas Barat menolak permintaan mereka.

“Kami tidak mahu al-Qaeda di sini. Tetapi jika pihak lain enggan membantu, kami mungkin mengadakan pakatan dengan mereka,” kata Abu Ammar, ketua pemberontak di Bab al Nasr, daerah tengah di Aleppo.


“Dan sudah pasti, jika al-Qaeda datang ke sini, mereka akan mempengaruhi orang ramai. Allepo akan menjadi pangkalan mereka dalam masa tiga bulan,” katanya.

Pakar berulang kali memberi amaran sebelum ini, kebangkitan rakyat Syria akan bertukar menjadi lebih radikal jika gesaan untuk mendapatkan bantuan tidak diendahkan.


Sejak beberapa bulan lalu, laporan mengenai kehadiran pejuang asing yang datang ke Syria menerusi sempadan dengan Turki meningkatkan kebimbangan.


Bagaimanapun, penganalisis berkata, kehadiran pejuang al-Qaeda masih kecil di negara itu. - Reuters

Taliban serang pangkalan tentera udara di Punjab




         
KAMRA: Kumpulan militan semalam menyerang sebuah pangkalan tentera udara di bandar ini, antara yang terbesar di Pakistan.

Bagaimanapun, serangan itu dipatahkan dan hanya sebuah pesawat rosak, kata jurucakap tentera udara Pakistan.


Menurutnya, pangkalan udara Minhas di tengah wilayah Punjab itu tidak menyimpan senjata nuklear.

“Tidak ada pangkalan udara di Pakistan yang dijadikan pangkalan udara nuklear,” katanya. Pertempuran yang berlaku selama beberapa jam meragut nyawa sembilan militan dan seorang tentera.


Kumpulan Taliban yang rapat dengan al-Qaeda dan dilihat sebagai ancaman terbesar terhadap keselamatan di negara Asia Selatan itu, mengaku bertanggungjawab.


“Kami bangga dengan serangan itu. Sudah sekian lama pemimpin kami mengambil keputusan untuk menyerang pangkalan udara Kamra,” kata jurucakap Taliban Ehsanullah Ehsan menerusi telefon dari lokasi yang tidak dinyatakan. - Reuters

2 maut, 3 ‘ditelan’ tanah jerlus

ANGGOTA penyelamat menggunakan tali untuk masuk ke lubang sedalam 10 meter.
ANGGOTA penyelamat menggunakan tali untuk masuk ke lubang sedalam 10 meter.
SEORANG daripada mangsa kemalangan dibawa keluar untuk dikejarkan ke hospital.
SEORANG daripada mangsa kemalangan dibawa keluar untuk dikejarkan ke hospital.
BEIJING: Tanah jerlus menyebabkan sebahagian daripada sebatang jalan sibuk di tengah bandar Harbin, Heilongjiang, berlubang dan ‘menelan’ beberapa orang, menyebabkan dua daripadanya maut, semalam.
Tiga mangsa lain, termasuk seorang bayi perempuan, cedera apabila lubang selebar enam meter terbentuk di Jalan Liaoyang di daerah Nangang.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa selepas mereka menggunakan terowong pembetung untuk memasuki lubang berkenaan. Jurucakap pasukan penyelamat berkata, dua mangsa yang terbunuh itu mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Bagaimanapun, penyelamat terkejut apabila mendapati, bayi terbabit hanya mengalami cedera ringan di kepalanya.

Dua lagi mangsa yang cedera masih dirawat di hospital tempatan.

Menurut jurucakap penyelamat, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan).
“Akibat tanah jerlus itu, satu lubang sedalam 10 meter terbentuk di tengah laluan sibuk berkenaan,” katanya. Pihak berkuasa terpaksa menutup jalan berkenaan untuk sementara bagi membolehkan penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan.

Penilaian juga dijalankan terhadap kemungkinan ada bahaya susulan daripada insiden itu. Polis berkata, punca kejadian masih disiasat.- DM

53 terbunuh keganasan terbaru di Iraq


an
 
BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh dalam serangan di seluruh Iraq hari ini, apabila pemberontak memberi amaran akan meningkatkan serangan sehingga penghujung bulan Ramadan.

Pegawai tempatan berkata, berbelas letupan dan tembak-menembak berlaku di 15 bandar di seluruh negara sekali gus menyebabkan lebih 250 orang awam cedera.

Menurut laporan keselamatan dan pegawai perubatan, jumlah mangsa keganasan pada bulan ini meningkat kepada 198. - AFP

Thailand, pemisah adakan rundingan

Pegawai polis Thailand memeriksa kerosakan selepas satu serangan bom di Pattani, semalam. Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam serangan itu.
Pegawai polis Thailand memeriksa kerosakan selepas satu serangan bom di Pattani, semalam. Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam serangan itu.

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand berkata ia mengadakan perbincangan dengan beberapa kumpulan pemisah Islam di wilayah selatan bergolak, berikutan perubahan dasar selepas kebangkitan terbaru militan.

Timbalan Perdana Menteri, Yutthasak Sasiprapa, berkata rundingan tidak rasmi sedang dijalankan antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab di wilayah itu iaitu Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan dengan beberapa kumpulan serpihan.

“Saya tidak katakan ia sebagai satu rundingan, namun ada perbincangan untuk mencapai perdamaian yang menjadi dasar penting kerajaan,” kata Yutthasak yang bertanggungjawab dalam keselamatan nasional, kepada media.
“Kerajaan melantik Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan mengambil tanggungjawab untuk rundingan itu oleh kerana mereka tahu siapa yang perlu ditemui untuk berunding.”

Rundingan itu adalah bersama kumpulan serpihan militan yang menganggotai gerakan dikenali Runda Kumpulan Kecil (RKK), satu daripada organisasi pemberontak web dipercayai menjadi dalang serangan, katanya.

“Kami bercakap dengan kumpulan yang baru ditubuhkan dianggotai golongan muda yang sudah berpecah daripada RKK,” kata Yutthasak, menambah bahawa sehingga 9,000 pemisah secara keseluruhan dianggarkan beroperasi di wilayah selatan dilanda keganasan itu.

April lalu, Yutthasak mengarahkan rundingan damai dengan militan selepas serangan bom maut menggegarkan wilayah dikuasai penduduk Islam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pemberontakan rumit, tanpa sasaran jelas, melingkari selatan Thailand bersempadan dengan Malaysia sejak 2004, meragut ribuan nyawa, kedua-dua penduduk Islam dan Buddha dengan serangan bom atau senjata hampir setiap hari.

Pemberontak tidak dianggap sebahagian pergerakan jihad global, tetapi sebaliknya memberontak menentang sejarah panjang diskriminasi ke atas etnik Melayu Islam oleh kerajaan Buddha Thailand.

Serangan memuncak ketika bulan suci Ramadan berakhir minggu ini, menukar fokus ke atas kerajaan yang terpaksa menangani kekacauan tanpa henti.

Yutthasak memberi amaran kemungkinan serangan besar militan di bandar selatan ketika bulan suci umat Islam sampai ke penghujungnya.

“Militan memutar belitkan ajaran Islam dan percaya siapa saja yang melancarkan serangan ketika Ramadan akan diberi ganjaran dan berupaya berjumpa penciptanya,” katanya. - AFP

Pangkalan tentera udara Pakistan diserang

Foto
Kakitangan awam yang bekerja di Pangkalan Udara Minhas di Kamra, 60 kilometer ke barat laut Islamabad, menunggu di pusat pemeriksaan selepas pangkalan itu diserang militan semalam.
Foto
Mayat salah seorang anggota militan yang terbunuh dalam serangan di Pangkalan Udara Minhas, 60 kilometer ke barat laut Islamabad semalam.

 Islamabad: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila militan bersenjatakan raifal dan pelancar roket menyerang pangkalan tentera udara utama Pakistan sebelum subuh semalam yang mencetuskan pertempuran sengit selama beberapa jam, kata pegawai.

Dua pegawai keselamatan antara yang maut di Pangkalan Tentera Udara Minhas di Kamra, sekali lagi menunjukkan menunjukkan kumpulan disyaki militan boleh menyusup masuk ke kawasan sensitif tentera di negara itu.

Tentera Udara mengesahkan lima jam selepas serangan bermula semua enam penyerang maut di pangkalan itu, lokasi Kompleks Aeronautikal Pakistan yang mengumpulkan Mirage dan jet tempur JF-17.
“Dua pegawai keselamatan dan semua lapan penyerang terbunuh,” kata jurucakap pangkalan itu kepada AFP menerusi telefon.

Serangan ke atas kemudahan yang terletak kira-kira 60 kilometer di barat laut Islamabad, bermula sejurus selepas jam 2.00 pagi waktu tempatan.



Pertempuran sengit

Pertempuran sengit berlaku antara kakitangan keselamatan dan kumpulan pengganas, kata Tentera Udara.
Bunyi senjata dan bedilan roket, selain letupan bom tangan, boleh didengari, kata pegawai yang enggan dikenali.

Pasukan khas dikerah ke tempat kejadian ketika kakitangan lain diarah berada dalam berek dan siren ambulans turut kedengaran di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya seorang penyerang memakai ves bunuh diri, kata jurucakap tentera udara.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab tetapi militan Islam yang dikaitkan dengan Taliban Pakistan sering menyasarkan pangkalan tentera sejak melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan pada Julai 2007.



Serangan pertama sejak 2011

Ia adalah serangan pertama ke atas pangkalan udara sejak Mei 2011, apabila ia mengambil masa 17 jam mematahkan serangan di Karachi didakwa dilancarkan Taliban, menambah keaiban kepada pasukan bersenjata beberapa minggu selepas tentera Amerika Syarikat membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan.

Namun ia adalah serangan kedua dalam masa beberapa minggu ke atas tentera berhampiran ibu negara yang dikawal, selepas penyerang pada 9 Julai lalu membunuh tujuh kakitangan keselamatan yang berkhemah di tepi sungai tidak sampai 160 kilometer ke tenggara Islamabad.

Di sebalik tidak aktif menangani serangan berprofil tinggi, Pakistan berhati-hati dengan keganasan yang berkebetulan dengan Hari Kemerdekaannya Selasa lalu dan sambutan Aidilfitri, hujung minggu ini. - AFP

Galaksi hasilkan banyak bintang ditemui




LAKARAN artis menunjukkan galaksi yang menghasilkan banyak bintang.


WASHINGTON - Sekumpulan ahli astronomi Amerika Syarikat telah membuat penemuan menakjubkan apabila mereka menemui sebuah ibu kosmik yang jauh di cakerawala.
Ibu kosmik itu merupakan sebuah galaksi tidak bernama yang melahirkan lebih banyak bintang sehari berbanding galaksi Bima Sakti.
Bima Sakti menghasilkan bintang selama setahun.
Kumpulan ahli astronomi berkenaan menggunakan teleskop X-Ray Chandra milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan untuk melihat galaksi gergasi itu.
Ia melahirkan sekitar 740 bintang baharu dalam tempoh setahun.
"Galaksi itu amat ekstrem kerana melahirkan terlalu banyak bintang baharu," kata seorang ahli astronomi Universiti Harvard yang turut bersama menulis kajian tersebut, Ryan Foley.
Menurutnya, bilangan bintang baharu yang dihasilkan itu jauh lebih besar berbanding Bima Sakti yang melahirkan cuma sebuah bintang baharu pada setiap tahun.
Ibu kosmik itu berada sekitar 5.7 bilion tahun cahaya dari pusat gugusan galaksi yang ditemui baru-baru ini.
Gugusan galaksi itu memancarkan sinaran X-ray paling terang yang pernah dilihat oleh ahli-ahli astronomi.
Penemuan tersebut disiarkan dalam jurnal saintifik Nature kelmarin. - AP

Budak peroleh RM31.28 sehari di jalanan



ORANG ramai menyaksikan persembahan Choudhary di sebatang jalan raya di Kathmandu kelmarin.


KATHMANDU, Nepal - Seorang budak lelaki, Drumpal Choudhary dan dua saudaranya memperoleh pendapatan AS$10 (RM31.28) sehari dengan membuat pelbagai persembahan tarian di jalanan di sini.
Dia datang dari India lima tahun lalu.
Menurut Choudhary, keluarganya seramai 10 orang tinggal di sebuah pondok tanpa tandas yang sempurna dan keperluan asas. - Reuters

Ribuan tinggalkan bandar India




SEORANG penduduk menunjukkan telefon bimbitnya yang mengandungi khabar angin tentang serangan etnik 
di Bangalore, India semalam.


BANGALORE - Ribuan penduduk meninggalkan bandar-bandar di selatan India semalam selepas khabar angin tersebar bahawa mereka akan diserang oleh orang Islam dalam tindak balas berhubung keganasan etnik yang berlaku baru-baru ini, kata beberapa pegawai.
Beberapa pegawai kereta api berkata, mereka menambah perkhidmatan kereta api dari sini menuju ke negeri Assam di timur laut negara berkenaan bagi memenuhi permintaan orang ramai selepas 6,000 tiket telah dijual sejak kelmarin.
Pihak berkuasa memberitahu, khabar angin itu disebarkan melalui laman sosial seperti Twitter, telefon bimbit dan internet.
Orang ramai yang tiba di Guwahati di negeri Assam turut memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa mereka membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk meninggalkan Hyderabad dan negeri Kerala di selatan India.
Seorang daripada mereka, Anirban Das memberitahu agensi berita AFP bahawa dia memutuskan untuk meninggalkan bandar ini selepas mendengar khabar angin tersebut.
"Kami mendengar bahawa kami akan diserang, justeru saya menaiki sebuah kereta api dan tiba di bandar Guwahati," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis India menyatakan, mereka kini menyiasat sumber dan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu.
"Pengacau-pengacau ini menyalahgunakan media sosial dan internet untuk menyebarkan khabar angin dan mencetuskan ketakutan kepada penduduk di selatan negara ini," kata Timbalan Ketua Polis Bangalore, Vincent S. D'Souza.
Sebelum ini, pertempuran selama tiga minggu antara puak Bodo dengan penduduk Islam telah meragut 80 nyawa dan menyebabkan 400,000 orang menjadi pelarian. - AFP

Jet hipersonik AS gagal ujian




GAMBAR fail menunjukkan jet hipersonik X-51A diangkut dengan menggunakan sebuah jentera pengangkut di Pangkalan Tentera Udara Edwards, California, Amerika Syarikat pada 17 Julai lalu.


LOS ANGELES - Sebuah jet hipersonik tanpa juruterbang yang direka untuk terbang enam kali ganda melebihi kelajuan bunyi berkecai di Lautan Pasifik beberapa saat selepas melakukan penerbangan ujian ekoran masalah pada ekor pesawat, kata Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Menurut kenyataan tentera AS, masalah pada ekor pesawat X-51A atau Waverider itu dikenal pasti dalam penerbangan ujian pada Selasa lalu.
Masalah teknikal itu berlaku 16 saat selepas roket penggalak melepaskan jet kawalan jauh itu daripada sayap pesawat pengebom B-52.
"Selepas 15 saat apabila X-51A terpisah daripada roket penggalak tersebut, jet tersebut hilang kawalan akibat masalah pada ekornya," kata kenyataan tersebut.
Secara keseluruhan, penerbangan ujian tersebut berlangsung selama 31 saat sekali gus gagal mencapai matlamat tentera AS untuk X-51A berada di udara selama lima minit.
"Pesawat itu berkecai serta-merta dan jatuh ke dalam Lautan Pasifik dekat Mugu Point di barat daya bandar raya Los Angeles," kata seorang jurucakap Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson di Ohio, Daryl Mayer.
Menurutnya, jet X-51A itu direka untuk mencapai kelajuan Mach 6 atau 7,350.06 kilometer sejam.
Pada kelajuan tersebut, perjalanan dari Paris ke New York di AS sejauh 5,837 kilometer cuma mengambil masa sekitar 46 minit.
- Agensi

Iran kritik OIC gantung syria



BEBERAPA lelaki mencari mangsa yang terbunuh akibat serangan udara tentera Syria di Azaz, 47 kilometer dari bandar Aleppo kelmarin.


TEHERAN - Iran semalam mengkritik keputusan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggantung keanggotaan Syria dalam badan tersebut.
Teheran menegaskan bahawa keputusan OIC tersebut adalah "tidak adil dan tidak patut".
Syria merupakan sekutu rapat Iran.
"Syria sepatutnya dipelawa ke mesyuarat OIC ini untuk mempertahankan dirinya," jelas Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi kepada agensi berita IRNA di kota Mekah.
Terdahulu, pada penghujung mesyuarat tergempar OIC di Mekah semalam, OIC mengumumkan bahawa ia menggantung keanggotaan Syria dalam organisasi 57 buah negara itu.
Pertubuhan itu turut menyuarakan kebimbangan serius berhubung pembunuhan beramai-ramai dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Syria.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dan Ali menghadiri sidang tergempar itu tetapi gagal menghalang keputusan tersebut.
Sidang tergempar itu dipanggil oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.
Negara berkenaan menyokong perjuangan pemberontak yang dikenali Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad.
FSA mula mengambil alih pentadbiran beberapa buah bandar yang dirampas mereka.
Di bandar Darat Azzah yang terletak di Aleppo, sebuah sekolah menengah dijadikan balai polis, mahkamah dan dewan sementara oleh FSA yang berjuang menamatkan pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.
Para pemberontak turut menguasai beberapa bandar utama di Syria seperti Aleppo, Damsyik dan Homs.
Menurut kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia, lebih 21,000 orang terbunuh sejak konflik Syria tercetus 17 bulan lalu.
Ketika itu, rakyat Syria bangkit menentang Bashar kerana menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi.
Sementara itu, serangan udara tentera Syria di sebuah kawasan perumahan di bandar Azaz, utara negara itu telah menyebabkan lebih 40 orang terbunuh.
Bandar tersebut turut dikuasai oleh pemberontak. - Agensi