Pages

Monday, August 13, 2012

Bandar eksklusif untuk wanita bekerja



Golongan wanita di Arab Saudi boleh bekerja tanpa melanggar sebarang isyarat selepas bandar baru yang dikenali sebagai Hafuf siap dibina. - AGENSI
RIYADH 12 Ogos - Arab Saudi merancang membina sebuah bandar baru yang eksklusif untuk wanita bagi membolehkan kaum itu bekerja dengan selamat.
Pembinaan bandar Hafuf oleh Pihak Berkuasa Hartanah Industri Arab Saudi itu, kini berada di peringkat pembangunan dan pembinaan dijangka bermula pada tahun depan.
Ia diharap dapat membenarkan wanita bekerja tanpa melanggar undang-undang syariah negara ini.
Bandar di timur negara ini dijangka menarik pelaburan sebanyak 500 juta riyal (RM415.4 juta) dan mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor tekstil, farmasi dan industri pembuatan makanan.
Ia akan mewujudkan syarikat-syarikat yang diuruskan wanita dan semua kakitangan juga akan terdiri daripada kaum tersebut.
Walaupun undang-undang syariah tidak menghalang wanita bekerja, data menunjukkan hanya 15 peratus wanita mewakili golongan pekerja di negara ini.
Pelan itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk membolehkan wanita memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Hartanah Industri Arab Saudi, Saleh al-Rasheed berkata, bandar industri sedia ada telah mempunyai kilang milik wanita dan syarikat yang menggajikan wanita.
Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya kini berusaha untuk membina bandar industri kedua untuk wanita.
''Kami merancang untuk mewujudkan sejumlah industri khas hanya untuk wanita di bahagian-bahagian tertentu di negara ini,'' katanya. - AGENSI

Iran dilanda gempa



PENDUDUK menyelamatkan seorang wanita di dalam runtuhan sebuah rumah di Kampung Sourmah, dekat pekan Varzaqan selepas dua gempa bumi melanda barat laut Iran, kelmarin.
DUBAI 12 Ogos - Dua gempa bumi kuat menggegarkan barat laut Iran semalam menyebabkan 300 orang terbunuh dan 2,600 lagi cedera.
Pasukan penyelamat bergegas menggeledah runtuhan bangunan di berpuluh-puluh perkampungan sepanjang malam tadi hingga ke hari ini dan kakitangan perubatan berusaha menyelamatkan mangsa.
Beribu-ribu orang bersesak-sesak di kem sementara atau tidur di jalanan selepas gempa yang melanda bandar Tabriz di wilayah Azerbaijan Timur itu dikhuatiri menyebabkan banyak gempa susulan dengan 40 gempa direkodkan berlaku.
Angka kematian dijangka meningkat ekoran ramai mangsa berada dalam keadaan kritikal dan ada yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kawasan yang sukar dihubungi manakala kegelapan malam menghalang kerja-kerja menyelamat.
Enam perkampungan musnah dan kira-kira 60 lagi kampung menghadapi kerosakan sehingga 50 peratus, lapor media.
Gambar-gambar yang disiarkan di laman web berita Iran menunjukkan banyak mayat, termasuk kanak-kanak, terbaring di atas lantai di bilik mayat di pekan Ahasr dan kakitangan perubatan merawat mangsa cedera di kawasan terbuka ketika waktu senja.
Beberapa imej menunjukkan kerosakan besar terjadi akibat gempa bumi itu dan pasukan penyelamat menarik keluar mangsa dari runtuhan bangunan dengan sesetengahnya masih hidup, tetapi ramai yang telah mati.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa pertama yang menggegarkan Iran semalam berukuran 6.4 skala Richter dan berpusat di 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz pada kedalaman 9.9 kilometer.
Gempa kedua pula berlaku 11 minit selepas itu dengan berukuran 6.3 sekala Richter, berpusat di 49 kilometer ke timur laut Tabriz, iaitu berhampiran pekan Varzaghan, pada kedalaman sama.
Beratus-ratus orang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan tetapi malam yang gelap menghalang bantuan kecemasan.
Operasi menyelamat bagaimanapun dihentikan hari ini selepas semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
“Tidak ada lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan semua bantuan yang diperlukan sedang diagihkan," kata pegawai Kementerian Dalam Negeri bagi Pengurusan Bencana, Hossein Ghadami kepada televisyen kerajaan.
Beliau turut berharap angka korban tidak meningkat kerana mangsa yang sebelum ini kritikal mula stabil.
- REUTERS/AFP

Lelaki hina isteri Rasulullah dipenjara dua tahun

DUBAI 13 Ogos - Mahkamah Bahrain semalam menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap seorang lelaki puak Syiah selepas didapati bersalah menghina isteri Rasulullah SAW, Aisyah di Internet.
Lelaki berusia 19 tahun itu dilaporkan menggambarkan keperibadian Aisyah dengan kata-kata berbentuk penghinaan dan memalukan.
Aisyah merupakan tokoh dihormati di kalangan puak Sunnah. - AFP/REUTERS

Rakyat Maghribi protes pemerintah



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Rakyat Maghribi protes pemerintah
Kumpulan aktivis meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan protes dan mengibarkan bendera anti kerajaan.
RABAT - Ratusan aktivis berhimpun di bandar utama Maghribi  untuk membantah kerajaan kerana gagal menangani isu rasuah, peningkatan kos sara hidup dan beberapa sebab lain yang mendatangkan ketidakpuasan hati rakyat.

Kumpulan hak asasi, ahli kesatuan sekerja dan gerakan protes 20 Februari, kelmarin berdemonstrasi susulan kecewa dengan kegagalan kerajaan yang memerintah menunaikan janji pilihan raya.

Di Casablanca, hampir 1,000 orang berkumpul sambil melaungkan slogan anti rasuah, mengecam kenaikan harga barangan dan meminta pembebasan beberapa aktivis yang sebelum ini dipenjarakan.

Menurut polis, protes yang berakhir tengah malam kelmarin turut berlaku di jalan-jalan utama Rabat dengan dihadiri lebih 300 penunjuk perasaan yang melaungkan kritikan terhadap Perdana Menteri Abdelilah Benkirane.

Dalam protes itu, aktivis menyalahkan keputusan Parti Pembangunan dan Keadilan (PJD) yang mendalangi kenaikan harga petrol sehingga 20 peratus pada Jun lalu sebaik sahaja kerajaan melancarkan rang undang-undang ketidakmampuan subsidi yang sekali gus meningkatkan harga makanan dan barangan asas lain.

Presiden Mesir arah ketua tentera bersara awal



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Presiden Mesir Mohammed Mursi
Mohammed Mesir diberi penghormatan pada hari beliau mengangkat sumpah sebagai presiden negara itu. - Foto ihsan CNN
KAHERAH - Presiden Mohammed Mursi mengarahkan persaraan ketua tentera yang berpengaruh, Fil Marsyal Mohamad Hussein Tantawi - dua bulan selepas beliau dipilih sebagai ketua baru Mesir.
Jurucakap Presiden berkata, deklarasi yang bertujuan mengekang kuasa presiden juga telah dibatalkan.
Laporan media menyebut masih belum jelas sama ada Mohamad yang turut dilucutkan sebagai Menteri Pertahanan akan menerima keputusan itu.
Mohammed mengangkat sumpah sebagai Presiden baru, yang dipilih menerusi pilihan raya selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun, pada Jun lalu.
Ikhwanul Muslimin, yang dianggotai Mohammed, melalui hubungan yang tegang sejak Hosni jatuh dari tampuk kuasa menerusi kebangkitan rakyat.
Mursi telah menamakan Fil Marsyal Abdul Fatah Khalil al-Sisi sebagai Menteri Pertahanan yang baru dan ketua Majlis Agung Angkatan Tentera, demikian menurut Nile TV.
Abdul Fatah merupakan ketua risikan tentera sebelum ini.

Israel uji amaran SMS mengenai serangan ke atas Iran




         
BAITULMAQDIS: Israel semalam mula menguji sistem amaran mengenai serangan peluru berpandu terhadap Iran menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Ujian itu dilakukan ketika berita mengenai kemungkinan serangan terbabit menguasai tajuk akhbar media Israel.


Menurut Markas Pertahanan Kebangsaan, ujian itu diadakan hingga Khamis ini dan mesej itu dihantar kepada pelanggan dalam bahasa Yahudi, Arab, Inggeris dan Russia menerusi tiga rangkaian utama Israel - Cellcom, Pelephon dan Orange.

Latihan itu bertujuan untuk menggunakan sistem SMS bagi memberi amaran kepada penduduk Israel mengenai serangan peluru berpandu oleh Iran atau Hizbullah di Lubnan jika tentera Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Teheran yang didakwa rejim itu bertujuan untuk menghasilkan senjata nuklear. Dalam pada itu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu mesyuarat mingguan Kabinetnya bahawa Israel mencatatkan kemajuan penting dari segi keupayaan pertahanan. - AFP

2 wartawan Syria maut




         
AMMAN: Dua wartawan Syria terbunuh di Damsyik menurut laporan agensi berita rasmi, Sana dan sebuah stesen televisyen Arab.

Sana melaporkan, wartawannya, Ali Abbas terbunuh di kediamannya di wilayah Ali Abbas, berpunca daripada serangan pemberontak. Tiada butir lanjut mengenainya diberikan.


Stesen televisyen Al-Arabiya pula melaporkan Bara’a Yusuf al-Bushi, bekas tentera Syria yang berpaling tadah dan menjadi pemberi maklumat kepada stesen itu dan beberapa pertubuhan berita antarabangsa, terbunuh dalam serangan bom ketika membuat liputan di al-Tal. - Reuters

Zon larangan terbang di Syria




         
ALEPPO: Amerika Syarikat dan Turki semalam berkata mereka mengkaji beberapa langkah untuk dilaksanakan terhadap Syria.

Ia termasuk menguatkuasakan zon larangan terbang di negara itu ketika pertempuran antara tentera Presiden Bashar al-Assad dengan pemberontak menggegarkan Aleppo dan tengah Damsyik.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton berkata, Washington dan Ankara perlu menghasilkan rancangan secara terperinci mengenai cara membantu pemberontak yang berjuang untuk menggulingkan Bashar.

“Perkhidmatan Perisikan dan tentera kami mempunyai tanggung jawab penting dan kami akan menubuhkan kumpulan kerja untuk melakukannya,” kata Hillary selepas berunding dengan rakan sejawatannya dari Turki, Ahmet Davutoglu di Istanbul, semalam.


Ditanya mengenai pilihan seperti menguatkuasakan zon larangan terbang di wilayah yang dikuasai pemberontak, beliau berkata, ia adalah antara kemungkinan yang beliau dan Ahmet setuju untuk mengkaji secara mendalam.


Ia adalah kenyataan paling kukuh Washington setakat ini mengenai kemungkinan ia terbabit secara langsung dari segi ketenteraan di Syria.

Zon larangan terbang yang dikuatkuasakan Nato dan sekutu Arabnya membantu pemberontak Libya menggulingkan Muammar Gaddafi tahun lalu.

Barat sebelum ini menolak rancangan mengulangi tindakan seumpama itu di Syria.

Arab Saudi dan Qatar dipercayai membekalkan senjata kepada pemberontak Syria sementara Amerika Syarikat dan Britain berikrar untuk meningkatkan bantuan bukan ketenteraan kepada penentang Bashar itu.

Tentera Bashar bertempur dengan pemberontak sejak tiga minggu lalu di Allepo dalam usaha menawan semula beberapa daerah. - Reuters

Dua gempa landa Iran

Foto
Pandangan umum menunjukkan kemusnahan kampung Ishikhli berhampiran bandar Varzaqan selepas gempa bumi yang melanda Iran semalam. - AFP
Foto
Penduduk bertungkus lumus mengeluarkan mayat mangsa gempa yang tertimbus. - AFP 
Foto
Seorang lelaki mengangkat mayat anak saudaranya yang baru dikeluarkan dari celah runtuhan akibat gempa di perkampungan Sourmah berhampiran bandar Varzaqan di barat laut Iran, semalam. AFP

300 terbunuh, lebih 2,600 cedera bencana menjelang Aidilfitri

Dubai: Dua gempa bumi dengan magnitud 6.4 dan 6.3, menggegarkan bahagian barat laut Iran semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 300 orang dan mencederakan lebih 2,600 yang lain, kata pegawai.

Gempa pertama berlaku di Ahar kira-kira 58 kilomter ke timur laut Tabriz pada pukul 4.54 petang waktu tempatan ketika umat Islam di Iran sedang membuat persiapan untuk berbuka puasa, diikuti gempa kedua 11 minit kemudian.
Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah ketika kejadian, kerana mereka sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa. Ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang” - Pegawai penyelamat
Tak dapat Aidilfitri

Kejadian menyebabkan beribu-ribu penduduk tidak akan dapat menyambut Aidilfitri dengan sempurna sebaliknya terpaksa mendiami khemah sementara selepas rumah dan harta benda mereka musnah.

Pekerja penyelamat meneruskan kerja menggali runtuhan di berpuluh-puluh perkampungan sepanjang malam sehingga semalam ketika kakitangan perubatan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

“Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah ketika kejadian, kerana mereka sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa. Ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang,” kata seorang pegawai penyelamat.
Beribu-ribu penduduk berlindung di kem sementara atau tidur di atas jalan selepas gempa bumi kelmarin, ketika 55 gegaran susulan melanda wilayah itu manakala lebih banyak gegaran lagi diramal berlaku.

Angkat kematian meningkat

Pihak berkuasa Iran berkata, angka kematian dijangka meningkat berikutan keadaan sebilangan mangsa yang kritikal, manakala ramai lagi masih terperangkap di bawah runtuhan yang tidak dapat dimasuki pekerja penyelamat berikutan keadaan terlalu gelap.

“Enam buah kampung musnah manakala 110 lagi mengalami kerosakan teruk,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Hassan Ghadami yang dipetik agensi berita Fars.
Gambar yang dihantar ke laman web berita Iran menunjukkan banyak mayat mangsa termasuk kanak-kanak terbaring di lantai rumah mayat di bandar Ahar dengan kakitangan perubatan merawat mangsa yang cedera di tempat terbuka menjelang senja.

Kemusnahan besar

Imej lain menunjukkan kemusnahan besar akibat gempa manakala pekerja penyelamat menggali mangsa keluar dari runtuhan, sebilangannya masih hidup, yang lain terkorban.

Iran terletak dalam garis gelinciran utama dan mengalami beberapa gempa bumi dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk gempa dengan magnitud 6.6 pada 2003 yang meranapkan bandar tenggara bersejarah di Bam dan mengorbankan lebih 25,000 penduduk. - Reuters

Tentera, polis dilarang sertai pilihan raya

Brigadier Jeneral Hartind Asrin, jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia.
Brigadier Jeneral Hartind Asrin, jurucakap Kementerian
 Pertahanan Indonesia.

Indonesia dakwa negara boleh berpecah jika pasukan keselamatan ambil bahagian 

Jakarta: Kementerian Pertahanan Indonesia semalam mengumumkan bahawa anggota tentera dan polis tidak akan dibenarkan mengambil bahagian dalam pilihan raya 2014, berikutan keadaan politik negara itu masih terlalu rapuh untuk membolehkan pasukan keselamatan menyertainya.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Hartind Asrin berkata keadaan sekarang amat berisiko untuk membenarkan anggota tentera dan polis dicalonkan dalam pilihan raya.

“Jika anggota keselamatan mengambil bahagian dalam pilihan raya sekarang, negara akan berpecah,” katanya sambil menambah perang saudara boleh berlaku jika tentera dan polis bertelagah berikutan pandangan politik yang berbeza.

Indonesia mempunyai 400,000 askar dan disokong 60,000 kakitangan awam. manakala pasukan polis mempunyai 408,000 pegawai dengan sokongan 30,000 anggota awam.

Anggota keluarga mereka dan pegawai yang sudah bersara dibenarkan mengundi, manakala mereka yang masih dalam perkhidmatan dilarang mengundi atau menyertai parti politik.

Hartind berkata buat masa ini, Indonesia tidak mempunyai persekitaran sesuai untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara.
Beliau juga merujuk mengenai jawatan di dalam tentera di mana seseorang tidak mungkin terus menyandang kedudukan tinggi tanpa hirarki.
“Prinsip sama juga mesti diamalkan dalam sistem demokrasi di negara ini,” katanya.

Hartind berkata pengundi tidak sepatutnya memilih pemimpin yang lama dan tidak mempunyai rekod bersih untuk menyandang jawatan tinggi seperti gabenor, datuk bandar dan pemimpin daerah. - Agensi

Militia bunuh 10 penduduk awam

Beirut: Majlis Kebangsaan Syria (SNC) yang juga pembangkang dan aktivis mendakwa militia pro-kerajaan membunuh 10 orang awam ketika serbuan mengejut di bandar Homs semalam.

“Anggota militia menahan hampir 350 orang dari daerah Shamas, mengumpulkan mereka di sebuah laman dan membunuh 10 daripadanya,” kata kumpulan aktivis, Majlis Revolusi Awam Syria.
“Nasib hampir 340 lain tidak diketahui dan kami amat bimbang mereka mendapat nasib sama seperti 10 syahid itu,” tambah kumpulan itu. Pembangkang SNC turut mengeluarkan kenyataan sama. - AFP

Militia bunuh 10 penduduk awam

Manila: Supek militan daripada sebuah kumpulan serpihan pemisah meletupkan bom di selatan Filipina namun gagal untuk mencederakan atau menjejaskan serangan tentera ke atas anggotanya yang mengamuk minggu lalu dan menyebabkan 28 orang terkorban.

Beratus-ratus anggota tentera disokong helikopter, kereta kebal dan tembakan meriam, memaksa pejuang bersenjata Pergerakan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) keluar dari dua kubu kuat mereka.
Selain memburu mereka di kawasan pedalaman wilayah Maguindanao semalam, kata pihak berkuasa.

Tentera cuba mengusir kumpulan bersenjata jauh dari lebuh raya utama, yang ditutup minggu lalu dalam usaha melindungi pengguna daripada tembakan hendap pemisah.

Sekurang-kurangnya tujuh butir bom buatan sendiri meletup sejak beberapa hari kebelakangan ini di sepanjang jalan serta di perkampungan di Maguindanao dan wilayah berhampiran Cotabato Utara dalam cubaan jelas pemisah berpecah untuk mengalih fokus tentera daripada melakukan serangan yang berterusan. - AP

Kapal persiaran gergasi keluar dermaga




BEBERAPA orang menyaksikan kapal Celebrity Reflection di dermaga Meyer di Papenburg, Jerman semalam.


PAPENBURG, Jerman - Sebuah kapal persiaran gergasi, Celebrity Reflection ditunda sebuah bot ketika ia meninggalkan dermaga Meyer di sini semalam.
Kapal sepanjang 319 meter dan dibina untuk syarikat perkapalan Amerika Syarikat, Celebrity Cruise itu mempunyai bilik untuk 3,000 penumpang.
Kos untuk membina kapal itu dianggarkan AS$750 juta (RM2.3 bilion).
Kapal itu akan memulakan pelayaran dari Amsterdam ke Barcelona pada 9 Oktober depan. - Agensi

250 maut gempa bumi di Iran




SEBAHAGIAN orang melakukan kerja-kerja mencari mangsa gempa bumi di Kampung Baje-Baj dekat bandar Varzaghan semalam.


DUBAI - Beberapa buah hospital di barat laut Iran semalam menerima limpahan ribuan mangsa gempa bumi yang berlaku di sekitar bandar Tabriz kelmarin dengan mengakibatkan 250 orang terbunuh.
Ribuan penduduk lagi membuat khemah dan tidur di jalanan selepas gegaran gempa bumi berlaku.
Menurut beberapa pegawai, angka kecederaan dan kematian mungkin meningkat dengan ratusan mangsa masih terperangkap di celah runtuhan.
Anggota-anggota penyelamat berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan dalam kejadian gempa bumi yang berlaku pada bulan Ramadan.
"Saya melihat sejumlah orang yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan semua ternakan mereka turut mati," kata seorang jurugambar tempatan, Tahir Sadati menerusi telefon kepada agensi beritaReuters.
Menurutnya, dia melihat beberapa buah kampung mengalami kemusnahan teruk.
"Suatu perkara yang baik ialah gempa bumi itu berlaku ketika ramai orang tidak berada di dalam rumah.
"Jika ia berlaku pada waktu malam, angka kematian akan menjadi lebih buruk," katanya.
Kawasan yang teruk dilanda kemusnahan terletak di kampung-kampung luar bandar yang mengelilingi bandar Ahar, Varzaghan dan Harees dekat bandar utama Tabriz, menurut laporan media Iran.
Kebanyakan kampung sukar untuk dilalui menerusi jalan sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat.
Beberapa hospital di Tabriz, Ardabil dan bandar-bandar lain mempunyai ramai mangsa yang cedera.
Terdapat barisan pesakit yang panjang menunggu untuk dirawat.
Menurut seorang penduduk, dia pergi mendermakan darah di sebuah hospital kelmarin dan melihat kakitangan hospital terlalu sibuk untuk merawat pesakit yang ramai.
Kebanyakan pesakit dihantar oleh keluarga mereka sekali gus menunjukkan kekurangan ambulans.
"Orang ramai takut dan tidak mahu kembali ke rumah mereka kerana bimbang bangunan (tempat tinggal mereka) tidak selamat," kata seorang penduduk.
Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa bumi pertama berlaku pada kekuatan 6.4 magnitud.
Ia berlaku 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz.
Gempa bumi kedua berukuran 6.3 magnitud dan berlaku 11 minit kemudian dekat Varzaghan, 49 kilometer ke timur laut Tabriz.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Hassan Ghadami, sebanyak 110 buah kampung mengalami kerosakan.
Jurucakap Pertubuhan Palang Merah, Hossein Derakhshan memberitahu agensi berita Fars, lebih 2,000 orang dipercayai cedera.
Seorang pegawai Pertubuhan Palang Merah, Mahmoud Mozafar memberitahu agensi berita Mehr, kira-kira 16,000 orang telah diberi bantuan kecemasan.
Seorang wakil rakyat, Mohammad Hassan-Nejad berkata, jika bantuan tidak dipertingkatkan, angka kematian akan meningkat.
Bekalan air, elektrik dan telefon di Varzaghan terputus sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat, lapor Press TV.
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Zeinab di Kampung Mirza Ali Kandi memberitahu agensi berita AFP, dia melihat adiknya berumur lapan tahun dan kakaknya mati di depan matanya.
"Saya berada di luar rumah untuk bermain apabila ia (gempa bumi pertama berlaku.
"Saya berlari ke luar melihat adik saya dan mendapati dia berada di bawah runtuhan. Saya cuba untuk menariknya keluar. Kemudian saya mendengar kakak saya menangis dan apabila saya menoleh, batu besar berada di atas kepalanya. Saya kemudian berlari," katanya sambil menangis.
- Agensi

Tentera Syria perhebat serangan




SEBUAH bangunan runtuh akibat pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak di Khaldiyeh, wilayah Homs Syria kelmarin.


KAHERAH - Tentera Syria semalam meningkatkan serangan di beberapa buah bandar yang didiami kumpulan pemberontak, kata seorang aktivis daripada pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Askar-askar Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertempur dengan para pemberontak di wilayah Daraa dekat sempadan Jordan.
Para pemberontak merampas sebuah kenderaan berperisai daripada pihak tentera dalam pertempuran di bandar Tafs di Daraa.
Tentera Syria turut membedil daerah yang menyokong pemberontak di al-Shaar dan Hananu di timur bandar Aleppo.
Pertempuran juga berlaku antara tentera Syria dan para pemberontak di daerah Salaheddin di Aleppo.
Pada awal minggu ini, para pemberontak terpaksa melarikan diri dari kubu kuat mereka di Aleppo ekoran serangan besar-besaran tentera Bashar.
Kedua-dua pihak telah bertempur selama tiga minggu untuk menguasai bandar Aleppo.
Bandar Aleppo merupakan pusat komersial Syria.
Lebih 20,000 dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara tentera Bashar dengan para pemberontak bermula pada Mac tahun lalu.
Kumpulan pemberontak menuntut supaya Bahsar meletakkan jawatan selepas beliau gagal untuk membawa banyak pembaharuan pentadbiran di negara tersebut. - Agensi

Kapal tentera AS berlanggar




SEBAHAGIAN badan kapal USS Porter remuk akibat perlanggaran dengan kapal tangki M/V Otowasan di Selat Hormuz semalam.


MANAMA, Bahrain - Salah sebuah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengalami kerosakan kecil selepas ia berlanggar dengan kapal tangki minyak semalam dekat Selat Hormuz di Asia Barat.
Perlanggaran itu menyebabkan sebuah lubang kecil terbentuk pada badan kapal tersebut.
Menurut Tentera Laut AS dalam satu kenyataan, tiada seorang pun yang cedera dalam kejadian itu.
Perlanggaran itu melibatkan kapal tentera laut pemusnah, USS Porter dengan kapal tangki minyak M/V Otowasan yang mengibarkan bendera Panama.
Selat Hormuz terletak di Teluk Parsi yang merupakan laluan utama kapal-kapal minyak.
Ketegangan telah meningkat berhubung ancaman Iran utnuk menyekat laluan kapal tangki minyak di laluan tersebut sebagai tindak balas terhadap sekatan Barat.
Sebelum ini Barat melakukan pelbagai sekatan ke atas Iran termasuk larangan mengimport minyak dari negara tersebut ekoran isu nuklear.
Iran tidak mahu menghentikan program nuklearnya dengan mengemukakan alasan ia digunakan untuk tujuan menjana tenaga elektrik. - Agensi

Arab Saudi sumbang AS$50 juta


SEJUMLAH penduduk Muslim di Jakarta, Indonesia semalam memegang kain pemidang bagi mendesak keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.


RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah (gambar kecil) mengarahkan bantuan sebanyak AS$50 juta (RM155.79 juta) dihantar kepada etnik Rohingya di Myanmar.
Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, penduduk Muslim itu menjadi sasaran serangan pembunuhan, rogol, perpindahan secara paksa dan pembersihan etnik.
"Raja Abdullah telah mengarahkan bahawa bantuan berjumlah AS$50 juta akan diperuntukan kepada warga Muslim Rohingya di Myanmar," menurut satu laporan yang disiarkan media Arab Saudi semalam.
Bagaimanapun, media itu tidak menyatakan pihak yang melakukan penderaan ke atas etnik Rohingya.
Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch menyatakan pada 1 Ogos lalu bahawa etnik Rohingya ditangkap beramai-ramai, dibunuh dan dirogol anggota-anggota pihak berkuasa.
Terdapat 800,000 etnik Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai penduduk di Myanmar.
Pada minggu lalu, Kabinet Arab Saudi mengutuk keganasan terhadap penduduk Muslim di Myanmar.
Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 31 Julai lalu di Jeddah, Arab Saudi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak anggota-anggotanya menghantar bantuan kepada etnik Rohingya.
Keganasan di Rohingya bermula pada Jun lalu setelah beberapa orang daripada etnik itu dituduh merogol seorang wanita etnik Rakhine yang beragama Buddha.
Kumpulan etnik Rakhine kemudian menyerang penduduk Rohingya sehingga menyebabkan sebahagian mereka melarikan diri ke Bangladesh.
- Agensi

Protes sokong Rohingya tukar ganas

MAKASSAR, Sulawesi Selatan 11 Ogos - Satu perarakan yang dianjurkan oleh Barisan Pertahanan Islam (FPI) bagi membantah pembunuhan etnik Islam Rohingya di Myanmar, bertukar ganas apabila penunjuk perasaan bertindak menyerang dua kuil Buddha di sini, semalam.
Kumpulan penunjuk perasaan FPI itu memulakan perarakan selepas selesai solat Jumaat di Masjid Al-Markaz Al-Islami, dengan membentuk konvoi dan berarak di beberapa jalan utama di bandar ini.
Di Jalan Sulawesi, kumpulan terbabit berhenti dan bertindak melemparkan batu ke arah Kuil Kwang Kong dan beberapa penunjuk perasaan mengetuk pintu rumah ibadat berkenaan dengan kayu.
Kumpulan demonstrasi itu kemudiannya membaling batu ke arah Kuil Xian Ma yang merupakan pejabat sekretariat Majlis Komuniti Buddha (Walubi) cawangan Sulawesi Selatan.
Anggota polis berjaya menghentikan kekecohan dengan mengadakan pertemuan antara penunjuk perasaan FPI dan ketua cawangan Walubi, Yongris.
Yongris menjelaskan kepada FPI bahawa beliau kesal dengan isu pembunuhan Islam Rohingya, yang turut didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar.
Beliau meminta penunjuk perasaan mendesak pihak berkuasa Myanmar menghentikan kezaliman berkenaan.
"Kami kesal dengan pembunuhan yang berlaku di Myanmar dan kami tidak akan menerima sebarang bentuk keganasan yang dilakukan," katanya.
FPI turut menuntut kerajaan Indonesia memutuskan hubungan dua hala dengan Myanmar sekiranya pihak berkuasa negara itu gagal menghentikan konflik tersebut. - AGENSI