Pages

Saturday, August 21, 2010

Iran perlu setahun keluarkan senjata nuklear


WASHINGTON - Pegawai-pegawai pentadbiran Amerika Syarikat (AS) meyakinkan Israel bahawa Iran memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk mengeluarkan senjata nuklear sekali gus merosakkan rancangan rejim Zionis untuk melakukan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, lapor akhbar The New York Times.
Pegawai-pegawai Israel sebelum ini berpendapat Iran berupaya mengeluarkan senjata nuklear dalam tempoh beberapa bulan.
Namun, Gary Samore yang merupakan penasihat kanan Presiden AS, Barack Obama berhubung isu nuklear memberitahu akhbar berkenaan bahawa beliau berpendapat Teheran akan memerlukan masa kira-kira setahun untuk menukar uranium menjadi bahan senjata nuklear.
"Setahun adalah tempoh yang sangat panjang," Samore dipetik sebagai berkata dalam laporan akhbar berkenaan di laman webnya kelmarin.
Penilaian tersebut dibuat berdasarkan laporan perisikan AS selain pemeriksaan oleh penyiasat-penyiasat nuklear antarabangsa.
Terdahulu, pegawai-pegawai Israel membayangkan akan mengambil tindakan ketenteraan sekiranya mereka mendapati Iran mengeluarkan senjata nuklear. - AP

No comments: